Agihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang Bagi DUN Daro Bermula

ISNIN, 7 JUN 2021

DARO: Pengagihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang bagi kawasan DUN Daro telah bermula pada Isnin dengan sebanyak 914 pek makanan diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dari enam buah kampung dan empat rumah panjang.

Menurut ADUN Daro, Safiee Ahmad, penghantaran juga turut dilaksanakan kepada 24 rumah panjang di kawasan pesisir sungai membabitkan seramai 1,353 KIR.

Ketika ditemubual UKAS semasa turut serta mengagihkan bantuan, Safiee memberitahu pihaknya menyasarkan untuk menghantar bantuan itu kepada 5079 KIR di empat buah daerah di DUN Daro.

“Keseluruhan KIR yang akan menerima sumbangan pelaksanan sumbangan food basket PKP pada kali ini, untuk kawasan DUN Daro yang melibatkan sebanyak empat daerah berjumlah 5079 bakul makanan yang akan kita edarkan kepada penduduk,” katanya.

Menurut Safiee lagi, pemberian bantuan itu bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat negeri ini yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 Jun ini.

Dalam masa yang sama, bantuan itu juga sebagai langkah kerajaan untuk menghadkan pergerakan penduduk bagi memutuskan penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan Sarawak yang merupakan antara kerajaan negeri begitu prihatin kerana telah melaksanakan pelbagai bantuan untuk membantu rakyat,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu menyeru agar masyarakat khususnya di Daro agar turut sama memainkan peranan membantu kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 dengan terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Antara lokasi agihan bantuan hari ini ialah Kampung Tebaang, Daro; Kampung Pangtray, Daro; Kampung Tengah, Daro; Rumah Panjang Nangar Kecil Daro dan Kampung Baru, Daro. – EDISI UKAS

Share

add comment