Individu Cetuskan Mogok Dan Penghasut Akan Diambil Tindakan Tegas

ISNIN, 7 JUN 2021

BINTULU: Individu yang cuba mencetuskan mogok atau bertindak sebagai penghasut susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas penduduk di kawasan Sungai Plan akan dikenakan tindakan tegas. 

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing menegaskan tindakan itu terpaksa diambil sekiranya penduduk masih ingkar mematuhi arahan yang telah diambil pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu. 

Tempoh PKPD di kawasan penempatan tersebut terpaksa diambil susulan  terdapat lebih 1,000 sample ujian calitan rt-PCR penduduk yang masih belum selesai dan masih menunggu keputusan. 

“Saya minta semua rakyat jangan mempunyai pemimpin yang menjadi ketua mogok hendak keluar kawasan seperti yang berlaku di kawasan Sungai Plan.

“Saya hendak minta pihak polis ambil tindakan yang keras dengan menangkap mereka yang mencetuskan mogok. 

“Kita mesti segera selesaikan isu ini supaya ianya tidak berlarutan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Hotel Promenade Bintulu pada Ahad. 

Sementara itu, Datuk Sri Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili serta Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung segera turun padang untuk memberi penerangan berhubung isu terbabit kepada penduduk terbabit. 

Tular di media sosial suasana tegang dan kecoh apabila penduduk mula menyerbu sekatan jalan raya di pintu masuk utama penempatan itu untuk keluar kawasan. 

Ini selepas berlakunya suasana tegang yang berpunca dari notis arahan pelanjutan PKPD ke atas penduduk kawasan Sungai Plan yang berkuatkuasa 6 hingga 11 Jun. 

Pada 22 Mei lalu, kawasan penempatan itu ‘dikunci penuh’ selepas dikesan terdapat kes positif dikesan menerusi saringan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Bintulu. -EDISI UKAS

Share

add comment