JPBB Miri Larang Masuki Lokaliti Dikenakan PKPD

ISNIN, 7 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengambil keputusan melarang mana-mana pihak memasuki lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta merta. 

Menurut kenyataan JPBB Miri pada Ahad, keputusan ini diambil susulan ada pihak yang masuk ke lokaliti yang dikenakan PKPD dalam Daerah Beluru pada Sabtu bagi menghantar barangan keperluan makanan. 

JPBB Miri menegaskan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan atau sumbangan bekalan makanan kepada penerima yang berada dalam lokaliti di bawah PKPD adalah diminta berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat Bahagian atau Daerah atau melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri terlebih dahulu bagi penyelarasan penghantaran sumbangan bantuan tersebut. 

Kata kenyataan itu lagi, tindakan memasuki lokaliti di bawah PKPD adalah bertentangan dengan Akta 342 iaitu Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diwartakan oleh kerajaan berkaitan dengan ‘Kawasan Tempat Jangkitan’ iaitu “Tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan kecuali bagi maksud tugasan rasmi”

Individu yang dibenarkan memasuki lokaliti di bawah PKPD hanyalah Pegawai Perubatan, Pegawai Kesihatan atau Pegawai Penguatkuasa yang bertugas. 

Tambah kenyataan itu lagi, Ketua Polis Daerah Miri mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan kini sedang dijalankan. 

JPBB Miri sekali lagi mengingatkan individu atau mana-mana pihak yang ingkar atau melanggar mana-mana peruntukan peraturan digariskan dalam akta tersebut yang bertujuan untuk mengawal atau mencegah merebaknya apa-apa penyakit berjangkit di dalam atau daripada sesuatu kawasan tempatan jangkitan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. -EDISI UKAS

Share
0