Jumlah KIR Ditambah, Kerajaan Sarawak Peruntukan Tambahan RM15 Juta

ISNIN, 7 JUN 2021

LIMBANG: Kerajaan Sarawak telah menambah sejumlah RM15 juta bagi Bakul Makanan Bantuan Khas Sarawakku (BKSS) kali ini menjadikan jumlah keseluruhan RM35.5 juta. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pada peringkat awal setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menerima RM250,000, tetapi setelah dibuat penilaian terdapat pertambahan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR).

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersetuju menambah RM15 juta lagi bagi membolehkan semua KIR di seluruh Sarawak menerima bantuan bakul makanan.

“Di Limbang, bilangan KIR di DUN Bukit Kota adalah sebanyak 9,710 dan di DUN Batu Danau 4,882 KIR. 

“Jadi kita telah pun menetapkan satu bakul makanan kosnya sebanyak RM70.00 meliputi keperluan makanan asas seperti beras, minyak, tepung dan sebagainya,” katanya pada Ahad.  

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu sebanyak RM679,700 telah diperuntukkan di DUN Bukit Kota dan RM341,740 bagi DUN Batu Danau. 

Pengagihan bantuan makanan telah mula dilaksanakan pada 6 Jun lepas dalam tempoh seminggu menerusi Pusat Khidmat DUN dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) manakala kos pengangkutan bantuan kali ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. 

Sementara itu, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang memberitahu tiga kawasan di DUN Batu Danau Long Adang, Long Kening dan Long Gita kini tidak dapat dilalui menggunakan jalan darat. 

“Masalah akses di ketiga-tiga buah kampung ini telah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbanng dan memohon  penghantarannya dilakukan menggunakan helikopter,” katanya. 

Kawasan lain yang tidak menghadapi masalah pengangkutan dan masih boleh diakses akan dihantar menggunakan bot atau pacuan 4 roda.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi dan Ketua Pemuda PBB DUN Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat. -EDISI UKAS