Lebih 469,000 Vaksin COVID-19 Bakal Tiba Di Sarawak

ISNIN, 7 JUN 2021

KUCHING: Dalam usaha mencapai imuniti kelompok, kerajaan Sarawak menggunakan kaedah hibrid bagi pendaftaran vaksinasi di kawasan luar bandar bagi mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, Sarawak akan menggunakan kaedah secara manual.

“Bagi mereka yang datang daripada luar bandar, walaupun nama dia tiada dalam sistem, kita tetap akan berikan suntikan vaksin.

“Kemudian barulah butiran peribadi mereka didaftar, direkod dan dimasukkan di dalam sistem,” katanya selepas meninjau ke Pusat Pemberian Vaksin Astrazeneca (PPVAZ) di BCCK, pada Isnin.

Jelasnya, bagi mempertingkatkan usaha tersebut, Sarawak akan dibekalkan dengan lebih 469,000 vaksin jenis Sinovac dan Pfizer dalam tempoh dua hari akan datang.

“Pada 9 Jun ini, sebanyak 380,000 dos vaksin Sinovac akan diterima di Kuching manakala 89,360 dos di Miri diterima pada 10 Jun.

“Sasaran kita pada bulan Jun adalah 1 juta dos dan seterusnya pada bulan Julai dan Ogos.

“Pfizer BioNTech juga akan diterima pada bulan Jun dan Julai sebanyak 2 juta dos,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri juga menasihati rakyat Sarawak terus menjaga diri walaupun sudah divaksin dan mendisiplinkan diri patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP). –EDISI UKAS

Share

add comment