Long Lamai Dikenakan PKPD, Hantar 186 Bekalan Makanan

ISNIN, 7 JUN 2021

MIRI: Enam kes positif COVID-19 dikesan membabitkan penduduk di kawasan Long Lamai, Bario. 

Ini selepas satu operasi siasatan dan pelaksanaan ujian survelans COVID-19 oleh sepasukan anggota dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diterbangkan khas melalui operasi penerbangan ‘Mercy Flight’ pada Khamis lepas. 

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Ahad memaklumkan Kampung Long Lamai kini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 5 Jun 2021 sehingga 19 Jun 2021 berdasarkan Laporan Operasi Siasatan Risiko Long Lamai oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri. 

Satu pasukan perubatan yang terdiri dari lapan orang petugas daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dan Hospital Miri, tiga orang anggota Pegawai Rendah Polis (PRP) dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dan seorang kakitangan Pusat Khidmat DUN Mulu yang diterbangkan khas ke Long Lamai melalui tiga penerbangan ihsan dengan pesawat AW139 (9M- BOD) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

Mereka akan menyediakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di lapangan di kawasan Long Lamai bagi melaksanakan rawatan, saringan kesihatan serta ujian saringan COVID-19. 

Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin yang turut hadir bagi meninjau operasi penerbangan itu berkata, sebanyak 186 pek makanan akan turut dihantar ke Long Lamai menerusi penerbangan ini. 

“Sebanyak 186 pek bekalan makanan telah disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak untuk penduduk di sekitar Long Lamai turut dihantar menerusi penerbangan ihsan pesawat Bomba Miri,” katanya. 

Kampung Long Lamai mempunyai seramai 110 keluarga yang terdiri daripada 371orang penduduk. 

Terdahulu satu kes positif dikesan melalui Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) oleh KKM Miri membabitkan seorang wanita yang pulang ke Miri selepas menghadiri upacara pengkebumian ibunya di Long Lamai pada dua minggu lepas. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, wakil Pemangku Pegawai Daerah Miri Edward Tawang dan Komander Pangkalan Operasi Udara Bomba Miri, Penguasa Kanan Bomba II Robert James. -EDISI UKAS

Share
0