NSJA Dan PBSM Malaysia Cabang Miri Anjur Kempen Derma Darah

ISNIN, 7 JUN 2021

MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri telah mengambil inisiatif menganjurkan kempen menderma darah pada 12 Jun 2021, Sabtu bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang di Dewan Latihan Bulan Sabit Merah Miri.

Pengerusi pengelola Michelle Choo Lee Nyuk berkata, kempen derma darah ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia dengan tema Celebrating The Gift of Blood.

“Kempen derma darah ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab Khidmat Sosial Korporat (CSR) Persatuan Wartawan Utara Sarawak mulai tahun 2019.

“Penganjurannya bertujuan membantu tabung darah Hospital Miri mendapatkan bekalan darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat. 

“Hospital Miri memerlukan bekalan darah bagi menampung keperluan yang kebiasaannya amat diperlukan pada masa pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada Isnin. 

Manakala, Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon berkata, aktiviti derma darah adalah dibenarkan dalam tempoh PKP dan tersenarai dalam perkhidmatan perlu serta mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sekiranya anda ditahan oleh pihak berkuasa semasa dalam perjalanan pergi dan balik menderma darah, anda boleh menunjukkan buku rekod penderma darah atau kad derma darah yang memaparkan waktu operasi tabung darah di

ruangan rasmi Facebook Tabung Darah Hospital Miri,” katanya. 

Beliau mengalu-alukan masyarakat untuk datang menderma darah bagi membantu insan yang memerlukan.

“Penderma darah akan mendapat sekapit beras 5kg, 500ml Minyak Masak Kelapa Sawit Merah Merris, roti, Indocafe dan Vico, sijil penghargaan, beg kitar semula dan pelitup muka,” tambahnya. 

Penanjur akan mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dengn mewajibkan memakai pelitup muka, menyukat saringan suhu badan dan memastikan penjarakan sosial.

Orang ramai yang mahu menderma darah adalah dialu-alukan datang untuk menderma darah dan utnuk sama-sama memeriahkan kempen derma darah. 

Kaunter pendaftaran akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang pada hari tersebut. -EDISI UKAS

Share
0