Pendekatan ‘Outreach’ Diguna Laksana Program Imunisasi Covid-19 Di Pulau Bruit

ISNIN, 7 JUN 2021

DARO: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Daro dengan kerjasama Pejabat Daerah Daro menggunakan pendekatan secara ‘outreach’ untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Fasa 2 di Pulau Bruit, Daro pada Isnin.

Langkah itu diambil bagi meringankan beban penduduk di situ yang terpaksa mengeluarkan belanja sekitar RM100 seorang untuk mengambil suntikan di Pekan Daro.

Program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 100 warga emas menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Betanak bermula dari jam 9 pagi hingga 1 petang.

Beberapa orang warga emas sakit terlantar terpaksa menolak suntikan kerana sukar bergerak.

Bagi mengelak pembaziran vaksin, pihak CITF mengambil keputusan memanggil segera individu yang berada dalam senarai menunggu.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid 19 (CITF) Daerah Daro mencadangkan supaya pihak bertanggungjawab menambahbaik fasiliti di PPV itu kerana warga emas sukar untuk mendapatkan vaksin di tingkat atas klinik kesihatan tersebut.

Menurut salah seorang petugas kesihatan di PPV berkenaan, Shamsida Maludin, program tersebut akan diteruskan di Pulau Bruit pada 20 Jun dan 28 Jun ini.

Beliau turut menyeru warga di Pulau Bruit yang telah mendaftar untuk menerima suntikan hadir di klinik itu mengikut tarikh temujanji ditetapkan. – EDISI UKAS

Share

add comment