Rubiah Wang Sumbang Bantuan Makanan Kepada Penduduk Kampung Sindang Yang Dikuarantin

ISNIN, 7 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Prihatin dengan penduduk yang dikuarantin di Kampung Sindang, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang memberikan sumbangan kepada 1,600 orang penduduk daripada 267 buah keluarga daripada kampung tersebut, pada Ahad.

Bantuan makanan berkenaan merupakan bantuan susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 Mei yang lalu.

“Saya bersyukur kerana dapat mengedarkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk di Kampung Sindang yang telah menjalani PKPD selama 14 hari bermula 28 Mei dan hari ini (Ahad) kita akan mengagihkan bantuan susulan kepada mereka memandangkan penduduk di sini tidak dapat keluar daripada kawasan ini,”katanya.

Mengulas mengenai kes sporadik yang melanda di daerah Samarahan dan Asajaya, Rubiah menasihati penduduk kampung perlu sentiasa berwaspada dan menjalankan peranan bagi memutuskan penularan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Samarahan dalam memberikan komitmen menjalankan tugas mereka. –EDISI UKAS

Share

add comment