5,136 Penduduk Daerah Limbang Terima Vaksin Dos Pertama, 3,792 Lengkapkan Dos Kedua

SELASA, 8 JUN 2021

LIMBANG: Seramai 73,923 orang penduduk di Bahagian Limbang yang berusia 18 tahun ke atas layak menerima suntikan vaksin COVID-19 meliputi 40,797 orang di Daerah Limbang dan 33,126 orang di Daerah Lawas.

Setakat 4 Jun 2021 seramai 5,136 orang telah menerima vaksin dos pertama di Daerah Limbang manakala seramai 3,792 orang pula telah lengkap menerima vaksin dos kedua.

Sementara itu, seramai 23,555 orang atau 57.7 peratus penduduk Daerah Limbang telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera setakat 2 Jun 2021.

Perkara ini dimaklumkan Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr Norliza Jusoh dalam perkembangan terkini Program Vaksinasi/ Imunisasi orang awam di Daerah Limbang kepada Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dalam lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin  (PPV) COVID-19 di Dewan Suarah Limbang pada Sabtu. 

Jelas Dr Norliza lagi, dua lagi PPV baharu akan dibuka di Daerah Limbang dalam masa terdekat iaitu di Dewan Persatuan Bisaya Limbang Kampung Batu Danau dan Dewan Masyarakat Medamit masing-masing mempunyai kapasiti 250 orang sehari.

Pembukaan dua PPV baharu itu nanti maka ia akan dapat mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Daerah Limbang yang pada masa ini hanya tertumpu di Dewan Suarah Limbang dan Hospital Limbang bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Pada lawatan itu, kedua-dua ADUN Bukit Kota menyampaikan cek berjumlah RM10,000 kepada Pengarah Hospital Limbang untuk membeli kelengkapan yang diperlukan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang yang juga Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pengarah Hospital Limbang PPV Hospital Limbang Dr Mohd Faez Ibrahim. -EDISI UKAS

Share

add comment