6,020 KIR DUN Demak Laut Terima Bantuan Bekalan Makanan BKSS

SELASA, 8 JUN 2021

KUCHING: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut boleh menarik nafas lega apabila mula menerima Bekalan Makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) pada Selasa. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, seramai 6,020 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima Bekalan Makanan BKSS di DUN Demak Laut yang dilaksanakan secara berperingkat. 

“Peringkat pertama ini, sejumlah 456 KIR dari Kampung Tabuan Lot, 222 KIR Kampung Tabuan Hilir dan 290 KIR Tabuan Lama menerima Bekalan Makanan BKSS dengan jumlah keseluruhan 968 KIR. 

“Agihan seterusnya akan dilaksanakan pada Rabu dan hari-hari berikutnya. 

“Bantuan Bekalan Makanan BKSS ini diuruskan Pejabat Pusat Khidmat DUN Demak Laut dan turut dibantu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat ranting dan SABERKAS,” katanya semasa ditemui dalam Majlis Penyerahan Bekalan Makanan BKSS di Dewan Masyakat Kampung Tabuan pada Selasa. 

Dr Hazland turut menambah bantuan Bekalan Makanan BKSS yang diadakan ini diharap dapat membantu meringankan beban ditanggung penduduk dalam meghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Sepanjang pelaksanaan PKP, penduduk dinasihatkan duduk di rumah untuk memastikan lekuk penularan COVID-19 dapat dikurangkan. 

“Pergerakan yang terhad telah menyebabkan kesukaran penduduk mendapatkan bekalan makanan. 

“Justeru, agihan Bekalan Makanan BKSS yang diadakan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban penduduk khususnya dalam mendapatkan makanan keperluan,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment