ADUN Tanjong Datu Puji Kerjasama Warga Emas Di Lundu Terima Vaksin COVID-19

SELASA, 8 JUN 2021

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu telah turun padang bagi meninjau Program Vaksinasi COVID-19 Fasa Kedua Daerah Lundu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lundu pada Selasa.

Terbaharu, seramai 342 orang lagi warga emas dan golongan berisiko tinggi di daerah Lundu telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

Dalam tinjauan tersebut, beliau bangga dan turut memuji warga emas yang hadir menerima vaksin selari dengan usaha kerajaan membentuk imunisasi kelompok di Sarawak bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Selain itu, Datuk Amar Jamilah turut menegaskan pada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lundu untuk menasihatkan penduduk kampung di kawasan masing-masing menunaikan tanggungjawab menerima vaksinasi.

“Saya mohon kerjasama semua KMKK memaklumkan kepada penduduk kampung yang belum divaksin untuk pergi menerima suntikan vaksin.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan seperti mempunyai masalah kesihatan dan tidak dapat keluar daripada rumah, sila hubungi ketua kampung supaya mereka terus menghubungi Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah Lundu,” katanya. –EDISI UKAS

Share

add comment