ADUN Tanjong Datu Serah 374 Pek Bantuan Bekalan Makanan BKSS 6.0 Di Lundu

SELASA, 8 JUN 2021

LUNDU: Seramai 374 Ketua Isi Rumah (KIR) di Daerah Lundu terima pek Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 daripada kerajaan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, ini adalah inisiatif kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat dengan membekalkan bantuan berupa makanan keperluan asas kepada KIR yang memerlukan di seluruh negeri.

Tambah beliau, pengagihan bakul makanan akan diagihkan secara berperingkat.

“Penyerahan secara berperingkat telah dilaksanakan sejak semalam dan dijangka selesai pada Rabu melalui ketua kaum dan ketua kawasan perumahan masing-masing,” ujarnya semasa melakukan simbolik penyerahan Bantuan Bekalan Makanan (BKSS 6.0) kepada tiga kampung di dalam daerah Lundu pada Selasa.

Tiga buah kampung di dalam daerah Lundu yang telah menerima bantuan tersebut ialah Kampung Sileng Dayak (96 KIR), Kampung Semunin Cina (47 KIR) dan Kampung Stunggang Melayu Baru (231 KIR).

Tambah beliau, seramai 5,710 KIR akan menerima bantuan bekalan makanan ini di daerah berkenaan.

Penerima bantuan bekalan makanan bagi DUN Tanjong Datu dipecahkan kepada 3 zon iaitu Zon Lundu (2,555 KIR daripada 43 buah kampung, perumahan dan kuarters), Zon Sampadi (730 KIR daripada 13 buah kampung), dan Zon Sematan (1,301 KIR daripada 17 buah kampung).-EDISI UKAS

Share

add comment