JPBNS Sasar 800 Individu Divaksin Sehari Di Daerah Bau Berbanding 500 Orang Sebelum Ini

SELASA, 8 JUN 2021

BAU: Kerajaan Sarawak menyasarkan 800 orang di daerah Bau akan menerima suntikan vaksin dalam tempoh sehari apabila kapasiti yang sedia ada ditambah dalam Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan mulai Jun ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datu Ik Pahon Joyik berkata, bagi fasa kedua yang bermula pada Jun ini, beliau menyasarkan kapasiti sedia ada iaitu kira-kira 500 yang divaksin akan ditingkatkan kepada 800 orang.

Menurutnya, beliau telah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep Serembu dan ADUN Serembu, Miro Simuh supaya memperhebatkan kempen mendaftar sebagai penerima vaksin di kalangan penduduk di bawah kawasan masing-masing.

“Saya juga telah berbincang dengan kedua-dua wakil rakyat supaya pertama membantu kempen supaya penduduk seluruh Bau ini turun untuk buat vaksinasi. Itu adalah satu-satunya cara untuk kita menangani wabak COVID-19 ini.

“Jadi seperti kita lihat di pusat pemberian vaksin ini yang telah dibuka dua bulan lepas, maka untuk fasa kedua pada bulan Jun ini kita hendak menambahkan kapasiti daripada yang sedia ada 500 kepada 800,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Perdana, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Sarawak, Bau pada Isnin.

Turut hadir, ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep Serembu, ADUN Serembu, Miro Simuh, Pemangku Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, Pegawai Kesihatan Kesihatan Daerah (PKD) Bau, Dr Winnie Johnny dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Lingem.

Sementara itu, beliau menggesa semua masyarakat untuk memastikan sasaran vaksinasi seramai 40,000 orang penduduk di daerah Bau tercapai.

Tambah beliau, perbincangan telah dibuat bersama dengan Pegawai Perubatan Daerah dan Bahagian dan beliau yakin dengan kerjasama semua pihak maka sasaran atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memvaksinasikan semua penduduk di Bau dapat dicapai.

“Saya mohon kerjasama semua pihak baik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak untuk menambah dari segi tenaga kerja teknikal dan daripada Pejabat Daerah Bau dan Residen Kuching untuk menambah Sukarelawan bukan Perubatan.

“Yang kedua, saya memohon kerjasama daripada kedua-dua wakil rakyat untuk membantu dalam apapun kemudahan yang dapat dihulurkan supaya KPI yang yang telah disasarkan sebelum Ogos ini,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment