Pengangkutan Air Digunakan Hantar Bakul Makanan BKSS

SELASA, 8 JUN 2021

MARUDI: Pengangkutan air juga digunakan bagi menghantar Bakul Makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada penduduk yang tinggal di kawasan sungai dan pedalaman. 

Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala ini bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman turut sama menikmati bantuan bakul makanan dan penghantarannya cepat. 

Ini disebabkan masih ada beberapa buah kampung di DUN Mulu yang hanya dapat dihubungi dengan menggunakan jalan sungai. 

Pada penghantaran yang dilaksanakan pada Isnin, telah digunakan kapal dari Pekan Marudi menyusuri Sungai Baram sehingga ke Kampung Long Panai di Sungai Tutoh. 

Sebanyak 10 buah kampung dengan 334 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima Bakul Bantuan BKSS antaranya Batu Belah 12 pek, Long Pahlo 6 pek, Long Ukok 10 pek, Kuala Tutoh 73 pek, Rh Gerinang, Logan Tasong 11 pek, Long Panai 129 pek, Rh Jipun, Sg Gaong 16 pek, Kampung Seberang Lubok Tumau 14 pek, Rh Mugang, Tanjung Upar 29 pek dan Rh Vincent, Tanjung Upar 34 pek. 

Penghantaran dilakukan Pusat Khidmat DUN Mulu dan dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Mulu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Petahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment