Proses Pemberian Vaksin AstraZeneca Di PPV IKBN Miri Sistematik, Selesa

SELASA, 8 JUN 2021

MIRI: Orang ramai yang menerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri melahirkan rasa selesa dan berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan. 

Perkara ini dimaklumkan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin selepas mengadakan tinjauan pemberian Vaksin AstraZeneca di PPV IKBN Miri pada Isnin. 

Katanya, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa diberikan keutamaan dengan penerima hanya dibenarkan memasuki PPV mengikut janji temu yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera dan pergerakan setiap penerima akan dipantau anggota keselamatan dan petugas Sukarelawan MyVAC IKBN Miri. 

“Kita juga meminta maklum balas daripada penerima yang hadir menerima vaksinasi pada pagi ini, mereka berasa selesa di sini dan berpuas hati dengan segala kemudahan yang disediakan di PPV ini. 

“Kebanyakan memuji proses yang dilakukan di PPV ini sistematik dan mereka menzahirkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya. 

Mengulas kehadiran penerima vaksin COVID-19 ke PPV, Datuk Lee menasihatkan agar penerima hadir mengikut tarikh dan masa janji temu yang telah ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera bagi mengelak kesesakan. 

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta orang ramai tidak mendengar atau berkongsi maklumat palsu yang tidak sahih mengenai vaksin di media sosial sehingga boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk melandaikan lekuk penularan wabak pandemik COVID-19.

Sementara itu, salah seorang penerima vaksin AstraZeneca Mac Davies Budot, 61 tahun menggesa masyarakat mengambil vaksin COVID-19 kerana pelaksanaannya mudah, selesa dan tidak menerima apa-apa kesan sampingan selepas suntikan. 

“Saya fikir proses pemberian vaksin ini dijalankan dengan baik bermula dari masa kehadiran, pendaftaran, suntikan vaksin sehingga ke tempoh pemerhatian. 

“Saya berasa selesa dan tidak merasakan apa-apa yang tidak baik. 

“Saya juga berasakan pengambilan vaksin COVID-19 ini baik dan menggesa masyarakat perlu mengambilnya,” katanya. 

Begitu juga dengan Tarmen Junit, 63 tahun yang turut sama menggesa masyarakat mengambil vaksin COVID-19 tanpa rasa ragu dan takut seperti mana yang digembar-gemburkan masyarakat dalam media sosial. 

“Kepada orang awam janganlah berasa takut, khuatir dan susah hati untuk menerima suntikan COVID-19 AstraZeneca ini. 

“Saya rasa kita perlu mengambil suntikan vaksin COVID-19 ini demi untuk kebaikan kita semua,” katanya.

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pegawai RELA Daerah Miri Mohamad Afizi Salam dan Penyelaras PPVAZ Miri Dr. Noor Izni. -EDISI UKAS

Share
0