Redah Jalan Balak Lebih 3 Jam, Hantar Bantuan Makanan Ke Rumah Panjang

SELASA, 8 JUN 2021

KAPIT: Meskipun terpaksa meredah kesukaran jalan balak selama lebih tiga jam, misi penghantaran bekalan makanan ke dua buah rumah panjang yang dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan (lockdown) di kawasan pedalaman di Daerah Bukit Mabong berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Program penghantaran tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kapit sambil dibantu beberapa agensi kerajaan yang lain pada Isnin.

Sebanyak 32 pek makanan dihantar ke Rumah Barang, Sungai Melinau manakala 44 pek dihantar ke Rumah Nyamuk, Nanga Serau Gaat bagi meringan beban penduduk yang sedang menjalani lockdown.

Sementara itu, pada Ahad, Jabatan Kebajikan Bahagian Kapit bersama beberapa agensi kerajaan lain menggunakan bot selama tiga jam untuk menghantar bekalan makanan ke tiga buah rumah panjang di Antawau, Baleh yang turut dikenakan ‘lockdown’.

Sebanyak 66 pek makanan dihantar iaitu 20 pek kepada Rumah Tajai, 35 pek untuk Rumah Laso dan 11 pek untuk Rumah Rentap. – EDISI UKAS

Share

add comment