3,100 KIR Kawasan DUN Satok Terima Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

RABU, 9 JUN 2021

KUCHING: Sejumlah 3,100 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang. 

Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, agihan bakul makanan tersebut bermula pada Sabtu lepas melibatkan 16 kawasan di bawah DUN Satok. 

“Hari ini (Selasa), sejumlah 626 bakul makanan diagihkan kepada komuniti Cina di Jalan Kulas, Jalan Rubber dan Jalan Nanas. 

“Manakala, pada sebelah pagi kita juga telah agihkan bakul makanan ke dua tempat iaitu Kampung Muhibbah dan Kampung Kudei Baru. 

“Agihan bakul makanan ini juga diadakan secara serentak di Kampung Sungai Maong dan Kampung Segedup,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan simbolik bakul makanan kepada wakil komuniti Cina di Pusat Khidmat DUN Satok pada Selasa. 

Datuk Ibrahim menambah pengagihan bakul makanan ini telah mendapat kerjasama baik daripada beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan pengagihan bakul makanan berjalan dengan lancar. 

Ujarnya, kerjasama ini penting bagi memastikan tiada golongan yang tercicir untuk menerima bantuan. 

“Agihan di kawasan DUN Satok dilakukan dari pintu ke pintu. Kami prihatin dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh komuniti. 

“Kami juga memberi bantuan kepada mereka yang tidak tersenarai namun membuat permohonan. 

“Kami mahu memastikan agar tiada satu pun tercicir,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, Kapitan Tan Kok Chiang yang bertanggungjawab terhadap komuniti Cina di DUN Satok telah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan yang diberikan terutama semasa pandemik COVID-19. 

Katanya, bantuan bakul makanan tersebut akan dapat diagihkan dalam tempoh dua hari. 

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdul Samad Gany, Naib Ketua Cawangan PBB Satok Hilmy Othman dan Ahli JKKK Green Road Donna Chan. -EDISI UKAS

Share

add comment