Bantuan Makanan Sarawakku Sayang Untuk Semua Rakyat

RABU, 9 JUN 2021

MARUDI: Bantuan Makanan Sarawakku Sayang merupakan sumbangan Kerajaan Sarawak untuk semua rakyat di seluruh negeri ini. 

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Dr Penguang Manggil berkata, sumbangan ini adalah bertujuan meringankan beban penduduk yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 Jun ini. 

“Bantuan Makanan Sarawakku Sayang merupakan sumbangan daripada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk semua penduduk di negeri ini yang terkesan akibat PKP tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas hadir di simbolik Penyerahan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di Pekan Beluru pada Selasa.

Simbolik penerimaan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

Untuk rekod, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi mempunyai 224 buah kampung dan rumah panjang dengan jumlah 7,533 KIR. 

Daripada jumlah itu, 205 buah kampung dan rumah panjang di Daerah Beluru melibatkan 5,449 Ketua Isi Rumah (KIR) terletak di bawah DUN Marudi. 

Pada Isnin, sebanyak 19 buah kampung dan rumah panjang dengan 2,084 KIR di Daerah Marudi menerima bantuan makanan. 

Hadir sama Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling dan KMKK Daerah Marudi. -EDISI UKAS

Share
0