Bekalan Makanan Sarawakku Sayang Diagihkan Secara Berperingkat, Klinik Kesihatan Sangan dan Nanga Tau Dipilih Sebagai PPV

RABU, 9 JUN 2021

TATAU: Penduduk yang masih belum menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus diminta bersabar. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, penghantaran bantuan makanan diadakan secara berperingkat dan kakitangan tidak ramai. 

“Ada yang bertanya bilakah mereka mendapat bantuan ini?Bantuan tidak dapat diberikan serentak. 

“Saya meminta supaya masyarakat bersabar memandangkan kakitangan yang menguruskan bantuan ini tidak ramai. 

“Tambahan pula kita kekurangan stok dan menunggu sehari dua lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di Rumah Dilang pada Isnin. 

Di DUN Kakus, sebanyak 7,577 Ketua isi Rumah (KIR) akan menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang dengan pengagihannya mula dilaksanakan pada Isnin sehingga 11 Jun 2021.

Sebanyak 190 pek makanan telah diagihkan kepada penduduk  di 14 buah rumah panjang antaranya Rh Dilang, Rh Wan, Rh Kelisop, Rh Reenie, Rh Anai, Rh Louis, Rh Medan, Rh Salleh, Rh Jan, Rh Baja, Rh Satan, Rh Saran, Rh Suang dan Rh Nira. 

Dalam perkembangan lain, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus memberitahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau bersetuju menjadikan klinik kesihatan di Sangan dan Nanga Tau sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk penduduk di kawasan tersebut. 

Katanya, ini selepas didapati ada warga emas yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan suntikan vaksin di Dewan Sukan Tatau. 

“Dalam mesyuarat empat hari lepas telah dipersetujui menjadikan klinik kesihatan di Sangan dan Nanga Tau sebagai tempat untuk penduduk di kawasan ini mendapat suntikan vaksin. 

“Oleh yang demikian, penduduk jangan risau khususnya golongan tua kerana mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Nanga Tau,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Penghulu Micheal Agul melahirkan rasa gembira atas bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang yang disumbangkan Kerajaan Sarawak untuk meringankan beban penduduk yang terjejas dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Saya berasa gembira kerana ada menerima bantuan bekalan makanan Sarawakku Sayang. 

“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penduduk rumah panjang yang pergerakkannya terbatas,” katanya. -EDISI UKAS

Share
0