Hanya KIR Dan Keluarga Yang Ada Di Rumah Panjang Sahaja Diagihkan Bantuan Makanan

RABU, 9 JUN 2021

TATAU: Pengagihan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus dimulakan di kawasan penempatan paling jauh di Nanga Takan. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, pengagihan bantuan makanan ini hanya untuk Ketua Isi Rumah (KIR) dan keluarga yang berada di rumah panjang sahaja. 

“Untuk pengetahuan, bantuan ini hanya untuk keluarga yang tinggal dirumah panjang pada masa ini. 

“Bagi penduduk yang tinggal di bandar, mereka akan mendapat bantuan di mana mereka berada contohnya di Tatau atau Bintulu. 

“Contohnya, walaupun rumah panjang ada 20 pintu, tetapi pada masa ini hanya 12 pintu sahaja yang berada di rumah panjang, maka 12 pintu itu sahaja yang dapat bantuan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di Merayang Gerina, Nanga Malat, Ulu Anap pada Isnin. 

Tambahnya lagi, bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak diagihkan bantuan ini kerana akan mendapat bantuan makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak. 

Sebanyak 170 bakul makanan diagihkan kepada 12 buah rumah panjang antaranya Rh Merayang Gerina, Rh Johnny Mancha, Rh Nyanau Sandum, Rh Thomson Achun, Rh Mawang Mat, Rh Andrew Jarau, Rh Belong Entalang, Rh Jeffery Nang, Rh Sayong Murapi, Rh Philip Ngelambai, Rh Enteri Aju dan Rh Gasah Sumbang. 

Mengenai pemberian vaksin COVID-19, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menyeru masyarakat mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi diri dan keluarga serta memenuhi objektif kerajaan mendapatkan 80 peratus Imuniti Kelompok di negara ini. 

“Saya sekali lagi menyeru masyarakat di Kakus mesti mendapat suntikan vaksin. 

“Tiada cara lain untuk menjaga kita dari penularan COVID 19 ini. 

“Kita dapat lihat beberapa buah negara yang rakyatnya telah mendapat vaksin lebih dari 50 peratus hingga 60 peratus kes menurun dengan ketara. 

“Oleh yang demikian saya ingin tegas sekali lagi masyarakat di Kakus untuk hadir mendapatkan vaksin seperti masa yang telah ditetapkan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan melakukan pemantauan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) iaitu Projek Merata Tapak Rumah panjang Baharu Rh Luming, Sungai Tekuyung ,Tatau.

Hadir sama Pemangku Pegawai Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong, Penghulu Micheal Agul dan Penghulu Allister Ali. -EDISI UKAS

Share
0