Jangan Cemburu Dan Bersikap Matang, Bersatu Sebagai Rakyat Sarawak

RABU, 9 JUN 2021

KUCHING: Keputusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memotong gaji Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri dan Menteri Muda, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Setiausaha Politik Ketua Menteri dan penjawat awam negeri untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Sarawak tidak harus dijadikan isu politik. 

Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, pembangkang di Sarawak tidak perlu bersikap iri hati dengan menjadikan ia sebagai satu isu untuk mendapatkan perhatian ramai. 

Katanya, tindakan pembangkang yang mengkritik isu potongan gaji ibarat mencemuh diri sendiri kerana sebaik-baiknya mereka turut tampil membantu rakyat. 

“Tidak perlu bersikap iri hati, sebaliknya hendaklah bersikap matang dan semua orang harus bersatu sebagai rakyat Sarawak. 

“Lebih penting ialah membantu rakyat Sarawak ketika ini, saat kritikal sebegini untuk memerangi COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Penyerahan  Simbolik Bekalan Makanan Sarawakk Sayang kepada komuniti Cina di Pusat Khidmat Dun Satok pada Selasa. 

Jelas Datuk Ibrahim lagi, mereka seharusnya mengikuti teladan ahli parlimen pembangkang seperti Hannah Yeoh dan ahli politk Kerajaan Pulau Pinang yang turut menggunakan elaun mereka untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Mengulas mengenai pengagihan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang ini, beliau menambah bantuan makanan ini disampaikan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik yang mereka sokong.

“Kita memberi bantuan kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama. 

“Kita juga memberi bantuan bukan sahaja kepada kaum Melayu, Iban di Kampung Kudei malah kepada sejumlah besar kaum Cina,” katanya. -EDISI UKAS

Share
0