Lebih 4,000 KIR DUN Semop Akan Terima Bantuan Bekalan Makanan BKSS

RABU, 9 JUN 2021

BINTANGOR: Kira-kira 4,350 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop akan menerima Bantuan Bekalan Makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol, pengagihan bantuan tersebut adalah berdasarkan data dan maklumat terkini daripada pejabat daerah dan juga ketua masyarakat di kampung dan rumah panjang.

“Tumpuan bantuan ini ialah ke setiap rumah yang berpenghuni.

“Kita akan cuba memastikan tiada rumah yang tercicir untuk menerima bantuan ini.

“Selain itu, Ketua Masyarakat juga telah dinasihatkan untuk peka dan cepat bertindak jika ada penduduk yang ketinggalan dengan kita mengambil kira adanya keluarga yang pindah atau menyewa di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Penyampaian Bantuan Bekalan Makanan BKSS di Dewan Sungai Sian, Bintangor pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) menjelaskan bantuan itu kini sedang dalam proses penyediaan di empat lokasi pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran.

Pusat tersebut terletak di Dewan Sungai Sian Bintangor, Dewan Kampung Melayu Bintangor, Dewan Kampung Serdeng dan Dewan Kampung Semop.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, bantuan dan kerjasama sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program bantuan tersebut termasuk Squad Sayang, ahli-ahli PBB, belia Saberkas, wakil NGO dan penduduk kampung serta rumah panjang amat diperlukan dan dihargai untuk melancarkan proses pembungkusan dan pengedaran.

Sebagai langkah keselamatan ujarnya, setiap sukarelawan yang terlibat, gerak kerja di setiap pusat tersebut dipantau serta dikawal ketat dari segi pematuhan SOP seperti wajib menggunakan pelitup separuh muka, disediakan cecair pembasmi kuman dan penjarakan fizikal semasa bekerja.

Abdullah juga menambah, misi kemanusian ini adalah untuk meringankan beban setiap keluarga yang terpaksa duduk di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Oleh sebab itu, usaha keperihatinan untuk menyumbang bantuan makanan ini tidak seharusnya dipolitikkan dan sepatutnya tiada isu pilih kasih kerana kita mahu setiap rumah menerima bantuan ini tanpa mengira sokongan politik mereka,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, inisiatif kerajaan menyampaikan bantuan makanan perlu dihargai.

“Kita hargai usaha kerajaan untuk menyampaikan bantuan makanan dikala kita sedang bekerja keras untuk memerangi ancaman virus covid yang semakin membimbangkan.

“Usaha keras kita untuk memerangi ancaman virus ini hanya akan berhasil jika kita sentiasa patuh, bekerjasama dan saling bertimbang rasa.

“Kita juga berharap semua yang telah dipanggil untuk suntikan vaksin untuk hadir supaya majoriti warga negeri akan segera divaksinasi,” tegasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment