Lebih 600 Ketua Isi Rumah Kawasan DUN Stakan Terima Pek Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

RABU, 9 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 600 Ketua Isi Rumah (KIR) di Daerah Samarahan yang melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan menerima pek Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) daripada kerajaan Sarawak.

Bantuan telah diserahkan kepada dua taman perumahan iaitu Taman Samarindah Baru iaitu kepada seramai 260 KIR dan Taman Samarindah Lama kepada seramai 350 KIR.

Simbolik penyerahan bantuan telah disampaikan oleh Pegawai Khas ADUN Stakan, Mohd Ainnie Wahab kepada ketua taman perumahan masing-masing dengan turut disertai Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Jerry Zannuddin Bidin pada Selasa.

Mohd Ainnie ketika ditemui memberitahu, bantuan berupa makanan keperluan asas itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak membantu mereka yang memerlukan khususnya di kawasan DUN Stakan dan pengagihan akan diagihkan secara berperingkat.

Sementara itu, ADUN Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas keprihatinan membantu rakyat yang terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghulurkan pelbagai bantuan.

Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk khususnya di DUN Stakan untuk turut bersama membantu kerajaan negeri dengan memainkan peranan masing-masing.

“Penduduk di DUN Stakan perlu bersama membantu pihak kerajaan dengan memainkan peranan masing-masing dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung wabak COVID-19 di negeri Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS

Share

add comment