Penduduk Berterima Kasih Atas Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

RABU, 9 JUN 2021

MUKAH: Inisiatif Kerajaan Sarawak meneruskan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) menerima sambutan baik daripada 475 ketua isi rumah (KIR) rumah panjang Bukit Ingkerbai dan Lubok Bemban di kawasan DUN Tellian.

Mewakili penduduk rumah panjangnya, Tuai Rumah Belansai Suka menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan penduduk pada waktu ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah mengusahakan inisiatif menyediakan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang kepada kami,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Manakala bagi Tuai Rumah Anderson Kalong, beliau menyifatkan wakil rakyat mereka, Yussibnosh Balo seorang pemimpin yang prihatin dengan memastikan bantuan tersebut diagihkan kepada mereka.

“Saya mewakili penduduk di kawasan Bukit Inkerbai dan Lubok Bemban mengucapkan banyak-banyak terima kepada Kerajaan Sarawak dan juga Yussibnosh yang telah berusaha memastikan kami turut menerima bantuan,” ujarnya.

Sementara itu, Tuai Rumah Ampi Inggang mengajak penduduknya menghargai usaha Kerajaan Gabungan Parti Sarawak meneruskan bantuan tersebut untuk membantu rakyat berdepan dengan waktu sukar.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat N.57 Tellian turut mengagihkan 742 bantuan yang sama kepada penduduk di Dijih dan Ulu Baoh.

Setakat ini, sebanyak 1,217 bantuan makanan Sarawakku Sayang telah diagihkan dan untuk keseluruhan seramai 4,231 KIR di DUN Tellian akan menerima bantuan tersebut.-EDISI UKAS