Pengagihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang Dahulukan Kawasan Pedalaman

RABU, 9 JUN 2021

LAWAS: Kawasan pedalaman didahulukan dalam pengagihan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan. 

Menurut Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ini kerana pengagihan bantuan makanan ini perlu cepat supaya rakyat tidak tertunggu-tunggu. 

“Di DUN Ba’kelalan, pengagihan bantuan makanan ini diberikan keutamaan kepada mereka yang tinggal jauh di pedalaman. 

“Kawasan ini diberikan keutamaan terlebih dahulu kerana perlu mengejar masa dan mengambil kira perjalanan jauh serta keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan simbolik Bekalan Makanan Sarawakku Sayang untuk Kampung Long Lupeng pada Selasa. 

Sebanyak 5 buah kampung di dalam kawasan Lupeng menerima 121 bakul makanan untuk diagihkan kepada setiap Ketua Is Rumah (KIR). -EDISI UKAS

Share
0