Pengagihan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang DUN Bukit Kota Beri Tumpuan Kepada ‘Point Of Delivery’

RABU, 9 JUN 2021

LIMBANG: Pengagihan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota akan dilaksanakan dengan menggunakan kaedah ‘Point of Delivery. 

Menerusi kaedah ini, bantuan bekalan makanan akan diagihkan kepada satu tempat dan agihannya seterusnya akan dilakukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

Ini bagi memberikan ruang dan keselesaan serta mengurangkan kesesakan ketika mengagihkan makanan di setiap kampung. 

Pengagihan Bekalan Makanan BKSS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota mula dilaksanakan pada Ahad dengan setiap pengagihan dilakukan dalam dua kumpulan. 

Pada Ahad, sejumlah 1,026 bakul makanan telah diagihkan kepada 15 buah kampung di sepanjang Jalan Kubong oleh Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 pula mengagihkan 431 bakul makanan ke 12 buah kampung di kawasan Gadong Jaya.

Manakala, pada Isnin pengagihan juga melibatkan dua kumpulan iaitu Kumpulan 1 tertumpu di sepanjang Jalan Tujuh Batu Keliling dan Jalan Buangsiol melibatkan 10 buah kampung dengan jumlah 1,582 buah bakul makanan dan Kumpulan 2 melaksanakan pengagihan di Jalan Pandaruan dengan 5 buah kampung berjumlah 555 buah bakul makanan. 

Sementara itu, sekiranya ada pihak yang tercicir dan tidak mendapat bantuan makanan akan diselesaikan segera menerusi anggota yang bertindak sebagai pengiring dan pemantau semasa pengagihan bekalan makanan ini.

Hadir sama Walikota Majlis Daerah Limbang merangkap Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan DUN Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terlibat.-EDISI UKAS

Share
0