PPV Bahagian Serian Terima 10 buah Kerusi Roda Daripada Dana Kita

RABU, 9 JUN 2021

SERIAN: Pertubuhan Kebajikan Dana Kita yang berpusat di Gombak, Selangor telah menyumbang sebanyak 10 buah kerusi roda untuk kegunaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bahagian Serian.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan & Taiwan) merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem merakamkan ucapan terima kasih kepada Dana Kita yang telah memberi sumbangan berupa kerusi roda untuk warga emas yang datang ke PPV Bahagian Serian.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dana Kita yang telah bermurah hati membantu penduduk di Bahagian Serian dengan memberi sumbangan berupa kerusi roda untuk warga emas yang datang ke PPV Bahagian Serian,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan tersebut di Perkarangan Pejabat Residen Bahagian Serian pada Rabu.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (LAKIS), Ustaz Mohd Amin Dan selaku Sahabat Dana Kita di Sarawak kepada Pemangku Residen Bahagian Serian selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian, Selamat Jati Yanjah.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Richard Riot juga berkesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada JPBB Serian yang telah bertungkus-lumus bersama agensi dan jabatan kerajaan di Bahagian Serian bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Terima kasih juga kepada JPBB Serian yang telah bertungkus-lumus bersama-sama agensi dan jabatan-jabatan kerajaan di Bahagian Serian iaitu Pejabat Kesihatan Bahagian Serian, RELA, PDRM Serian, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Daerah Serian (MDS) dan agensi lain yang  bekerjasama mengadakan rondaan, pemantauan, sekatan jalan raya dan sebagainya sehingga ke seluruh  pelusuk kampung-kampung dalam Parlimen Serian dan Bahagian Serian amnya,” ujarnya lagi.  

Sementara itu, Pengerusi JPBB Serian memberitahu, Bahagian Serian akan membuka tiga PPV bermula pada 12 Jun.

“Kita akan membuka sebanyak tiga buah PPV iaitu di Serian, Tebedu dan Siburan bermula pada 12 Jun ini,” katanya.

Tambah beliau, bagi yang tidak memiliki MySejahtera pihak Jawatankuasa akan menggunakan senarai nama yang diberi oleh Ketua Kampung masing-masing.

Justeru beliau berharap penduduk kampung bersabar kerana giliran mereka akan tiba untuk suntikan COVID-19.-EDISI UKAS

Share

add comment