Proses Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 Miri Ditambahbaik

RABU, 9 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri akan menambahbaik proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Miri bagi memastikan setiap masyarakat yang mendapat temu janji hadir dan menerima suntikan vaksin. 

Menurut Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Bahagian Miri telah diperuntukan sebanyak 19,400 vaksin COVID-19 dan menerima kehadiran penerima vaksin dari luar Miri. 

“Saya yakin bahawa proses vaksinasi AstraZeneca akan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya juga mengalu-alukan masyarakat yang masih lagi ingin mendapatkan vaksinasi untuk berbuat demikian. 

“Kita juga akan cuba untuk mendapatkan maklumat daripada pihak bertanggungjawab yang menyelaras prorgam vaksinasi AstraZeneca sama ada ada lagi kekosongan seperti apa yang terdapat di Kuching seperti yang diumumkan Ketua Menteri,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri pada Isnin. 

Proses pemberian vaksin AstraZeneca di PPV IKBN Miri bermula pada Isnin bagi warga emas selama tiga hari sebelum dibuka kepada penerima yang berumur 18 tahun ke atas yang telah mendaftar.

Tambah Lukanisman lagi, beliau berharap masyarakat menerima program vaksinasi nasional melalui PICK dan AstraZeneca adalah merupakan program tambahan dalam usaha mencapai 80 peratus masyarakat menerima vaksin COVID-19. 

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS

Share

add comment