Pusat Pemberian Vaksin Memerlukan Ramai Sukarelawan

RABU, 9 JUN 2021

KUCHING: Sarawak kini memerlukan lebih ramai petugas sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri selama tiga bulan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit berkata, langkah ini adalah untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh Sarawak.

“Mereka juga akan diberi keutamaan dari segi vaksinasi itu seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

“Selain itu, mereka akan berikan elaun seperti yang diwar-warkan untuk Pegawai Perubatan sebagai contoh, RM2,400 sebulan.

“Manakala bagi pembantu pula RM2,000 untuk sukarelawan perubatan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Astrazeneca (PPVAZ) di Kuching pada Rabu.

Selain itu, beliau turut menggalakan penyertaan daripada sukarelawan bukan kesihatan.

“Kita juga memang mengalakkan lebih ramai sukarelawan bukan kesihatan mendaftar melalui KBS atau Persatuan Bulan Sabit Merah Sarawak dan pada masa sama, sekiranya pihak PPV atau PPV bahagian memerlukan sukarelawan bukan kesihatan ini, sila hubungi KBS dan juga Persatuan Bulan Sabit Merah Sarawak” ujarnya.

Sehubungan itu sebarang pertanyaan mengenai program ini, mereka yang berminat boleh hubungi di talian 012-3110106 (Michael).-EDISI UKAS

Share

add comment