Vaksinasi Mandatori Sebelum Masuk, Rentas Negara Brunei Darusalam

RABU, 9 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bersetuju memberikan vaksinasi COVID-19 kepada pemandu dari syarikat logistik dan pengangkutan di bahagian Miri. 

Ini bagi membolehkan mereka melakukan perjalanan memasuki atau merentasi negara Brunei Darussalam sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Limbang dan Lawas. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin meminta semua syarikat logistik dan pengangkutan yang melakukan perjalanan masuk atau merentasi Negara Brunei Darussalam untuk ke Limbang atau Lawas dikehendaki menghantar senarai nama-nama pemandu melalui Pejabat Residen Bahagian Miri bagi tujuan pemberian vaksin COVID-19 

Pejabat Residen Bahagian Miri akan memanjangkan senarai nama tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Miri bagi tujuan pemberian vaksin yang merupakan prasyarat mandatori bagi membolehkan mereka memasuki Negara Brunei Darussalam. 

Terdahulu, Kerajaan Brunei Darussalam mensyaratkan setiap warganegara Malaysia yang ingin memasuki atau merentasi Brunei telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 di bawah Syarat Vaksinasi Mandatori Bagi Pejalan-Pejalan Keluar Negeri (Outbound Travellers) yang dikeluarkan pada pada 1 Jun 2021. -EDISI UKAS

Share

add comment