175,916 Isi Rumah Telah Menerima Bantuan Bekalan Makanan BKSS Seluruh Sarawak

KHAMIS, 10 JUN 2021

KAPIT: Seramai 175,916 isi rumah di seluruh Sarawak telah menerima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang sehingga Khamis.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, daripada jumlah tersebut terdapat enam buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melengkapkan kerja-kerja pengagihan.

Kawasan DUN tersebut termasuk DUN Satok, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Bukit Saban dan Pelawan.

“Kita menjangkakan pengagihan bantuan ini akan selesai pada esok (11 Jun),” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan Simbolik Penyerahan Bantuan Makanan BKSS 6.0 di Kapit.

Ketua Menteri menjelaskan sebelum ini beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM35.5 juta untuk program Bantuan Bekalan Makanan di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 dengan mensasarkan seramai 473,558 KIR (Ketua Isi Rumah).

Jumlah tersebut katanya meningkat kepada 24.4 peratus dibandingkan pada tahun sebelumnya selain peningkatan sebanyak 116 peratus untuk jumlah peruntukan atau RM16.4 juta pada 2020.

Pada tahun ini juga, jelasnya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM5 juta kepada kos pengangkutan.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata, Hospital Medan di Kapit yang ditubuhkan Angkatan Tentera Malaysia dengan kapasiti 40 katil adalah yang pertama di Sarawak.

“Selain itu, di Kapit juga kita ada tiga pusat vaksin yang mampu menampung 350 hingga 400 orang dalam sehari.

“Unit bergerak turut ditubuhkan khas untuk perkhidmatan di luar bandar dengan 11 pasukan telah dikerahkan ke Song, Kapit, Bukit Mabong dan daerah Belaga selain akan turut memberi perkhimatan ke lokasi luar bandar yang lain,” jelasnya.

Pada program berasingan Ketua Menteri turut meninjau Hospital Medan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Baleh.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Liwan Lagang dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS

Share

add comment