KHAMIS, 10 JUN 2021
BEKENU: Seramai 6,258 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu akan menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di bawah Program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata, bantuan ini merupakan sumbangan Kerajaan Sarawak yang bertujuan meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
“Untuk kawasan di DUN Bekenu, kita ada 6,258 KIR yang akan menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang daripada Kerajaan Sarawak.
“Tujuannya adalah untuk meringankan beban penduduk semasa menghadapi pandemik COVID-19 dan dalam pelaksanaan PKP,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan simbolik Penyerahan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang DUN Bekenu di Pusat Khidmat DUN Bekenu pada Rabu.
Sebanyak 9 buah kampung yang terdiri daripada empat buah Kampung Melayu, sebuah buah Kampung Cina dan empat buah rumah panjang menerima bantuan makanan ini yang diwakili Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Tuai Rumah masing-masing.
Dalam perkembangan lain, ketika menjawab soalan media Datuk Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu memberitahu ada empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan selain Dewan Sepupok Niah iaitu Klinik Suai Tegageng, Klinik Jambatan Suai, Dewan Masyarakat Bekenu dan Klinik Ladang 3 yang bertujuan meningkatkan pemberian vaksin kepada masyarakat di DUN Bekenu.
Beliau pada masa sama berharap semua masyarakat di Bekenu terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kerjasama ini penting untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.
Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan Pegawai Daerah Subis Jamalie Busri. -EDISI UKAS