7,066 KIR Di DUN Kemena Terima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

KHAMIS, 10 JUN 2021

SEBAUH: Masyarakat digesa mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19 dalam usaha melindungi diri dan orang lain serta terus patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setiap masyarakat perlu mengetahui peranan masing-masing dalam membanteras penularan wabak COVID-19 dan kerajaan sedaya upaya untuk memastikan langkah ini memberi manfaat kepada rakyat. 

“Virus ini tidak bolah berjalan, yang berjalan adalah orang yang membawa virus.

“Jadi, kita harus mengetahui jika kita dapat membenteras pergerakkan atau mengawal pergerakkan maka secara langsung virus ini tidak boleh menular,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan Simbolik Penyerahan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam Sebauh pada Selasa. 

Tambahnya lagi, virus ini boleh hidup selama 72 jam di atas permukaan berkaca dan steanless steel serta dalam keadaan tertutup dan berhawa dingin. 

Mengulas mengenai penyerahan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang, Dato Sri Dr Stephen Rundi yang juga Menteri Utiliti Sarawak memberitahu setakat ini sebanyak 58 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) telah pun menerima bantuan makanan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena. 

“Kita telah pun mengambil keputusan untuk memberikan ke seluruh KIR di kawasan DUN Kemena iaitu kurang lebih 7,066 termasuk di Suai dan Niah. 

“Pada pagi ini (Selasa) kita menyerahkan sebanyak 1,000 lebih untuk penerima di kawasan Sebauh sini,” ujarnya. 

Bantuan makanan ini diharap dapat membantu rakyat yang terkesan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

Pada majlis itu, beliau turut mengambil kesempatan menyerahkan bantuan kerusi roda kepada salah seorang penduduk Rumah Raymond Plen. 

Sementara itu, mewakili penduduk di kawasan Sungai Gelam Sebauh, Tuai Rumah Raymond Plen mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang yang diberikan kepada semua penduduk di rumah panjang. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah memberi bantuan Bakul Makanan Sarawakku Sayang yang diberikan kepada seluruh penduduk di rumah panjang,” katanya. 

Nada yang sama turut dizahirkan Ketua Kampung Uchau Mat dari Kampung Hilir Sebauh yang menyifatkan bantuan makanan ini akan mengurangkan beban penduduk semasa menghadapi PKP ini. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan makanan ini yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban penduduk terutama musim pandemik COVID-19,” katanya. 

Sementara itu, Tuai Rumah Lat meminta penduduk di rumah panjang agar bersabar menunggu pengagihan bantuan makanan memandangkan pengagihannya dilaksanakan secara berperingkat. 

“Bagi bantuan bakul makanan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang telah memberi bantuan bekalan makanan kepada semua penduduk di seluruh Sarawak secara berperingkat. 

“Jangan risau kerana semua akan menerima bantuan makanan ini. 

“Adalah diharap sabar menunggu agihan bantuan makanan ini,” katanya. -EDISI UKAS