737 KIR Di DUN Bukit Kota Terima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

KHAMIS, 10 JUN 2021

LIMBANG: Program pengagihan bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota diteruskan di empat lokaliti melibatkan 736 Ketua Isi Rumah (KIR). 

Antara lokaliti yang terlibat ialah Kampung Pabahanan, Rancangan perumahan Rakyat (RPR) Batu Biah (Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4), Kampung Buangsiol dan Kampung Pemukat.

Sehingga Selasa, sebanyak 4,370 KIR telah menerima bantuan bakul makanan merangkumi 38 buah kampung, 5 buah rumah panjang dan 3 buah taman perumahan.

Cuaca hujan pada sebelah pagi telah menyebabkan sedikit kelewatan penghantaran bantuan makanan pada Selasa. 

Dalam pada itu, penghantaran makanan juga tergendala pada sebelah petang disebabkan bekalan beras belum siap dibungkus oleh pembekal. 

Pemintaan yang banyak di DUN Bukit Kota dan DUN Batu Danau telah menyebabkan pembekal gagal memenuhi permintaan disebabkan hanya mempunyai sebuah mesin untuk membungkus beras di gudang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk kampung yang ditemui menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail atas inisiatif bantuan yang diberikan.

Bantuan makanan ini sangat bermakna bagi penduduk kampung terutamanya golongan B40 yang mana sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan mereka. -EDISI UKAS

Share
0