ADUN Semop Tinjau Pusat Operasi Pengagihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

KHAMIS, 10 JUN 2021

SEMOP: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol telah meninjau dua pusat operasi bagi pengagihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang BKKS untuk penduduk di DUN Semop.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop meninjau Pusat Operasi Dewan Kampung Semop dengan proses pengumpulan dan pembungkusan telah bermula pada Rabu dan pengagihan telah dijalankan bermula di Perkampungan Selatan Pulau Bruit, pada Khamis.

Sementara itu, di Pusat Operasi Dewan Kampung Serdeng, proses pengagihan akan banyak menggunakan bot ekspress kerana sebahagian besar penerima adalah penempatan di persisir sungai seperti Mupong, Semaring, Telok Gelam, Paloh, Kedang dan Berangan.

Untuk seluruh penduduk Pulau Bruit, dianggarkan 2,243 ketua isi rumah (KIR) akan menerima bantuan tersebut.

Manakala Pusat Operasi Dewan Kampung Serdeng pula akan melibatkan sebanyak 954 KIR.

Ketua Kaum Kampung Semop Kamrie Harun ketika ditemui menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas sumbangan tersebut.

“Saya mewakili penduduk Kampung Semop ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Ketua Menteri di atas bantuan makanan ini.

“Kami juga menghargai usaha Pusat Khidmat DUN Semop dan Abdullah serta semua sukarelawan yang turut membantu menjayakan program pengagihan bantuan kepada penduduk kampung,” katanya.

Turut senada, Kaunselor Seli Judi mewakili penduduk di kawasan Mupong dan Semaring berterima kasih kepada kepimpinan Ketua Menteri dan juga Abdullah yang berusaha memastikan penduduk DUN Semop menerima bantuan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Ketua Menteri kita serta wakil rakyat kami, Abdullah yang mengusahakan bantuan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah turut bersetuju untuk mengemukakan cadangan mewujudkan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kampung Semop kepada pihak berkaitan bagi memudahkan proses vaksinasi terutamanya untuk warga emas.-EDISI UKAS

Share
0