Agihan Bakul Makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang Di DUN Simunjan

KHAMIS, 10 JUN 2021

SIMUNJAN: Pengagihan Bakul Makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang mula dilakukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan pada Rabu.

Agihan ini akan dijalankan secara berperingkat mengikut zon yang terdapat di kawasan DUN Simunjan iaitu Zon Simunjan Proper, Zon Sungai Apin, Zon Rangawan dan Zon Temiang.

Bantuan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris tersebut telah dimulakan dengan agihan ke kawasan Zon Temiang yang melibatkan 746 buah rumah daripada 14 buah kampung.

Penerima bantuan adalah daripada Kampung Temiang, Kampung Sungai Raya, Kampung Emplas, Kampung Simunjan Jaya, Kampung Pentek, Kampung Batu Mumong, Kampung Gunung Ngeli, Kampung Mengeli, Kampung Kampung Sungai Jong, Kampung Sungai Lingkau, Kampung Melanjok, Kampung Sual, Kampung Sekendu dan Kampung Tabuan.

Terdapat 3,156 penerima dijangka menerima bantuan makanan bagi kawasan DUN Simunjan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan, Bojeng Ali memberitahu bantuan akan diberikan kepada penduduk yang belum menerima bantuan tersebut secepat yang mungkin.

Dalam pada itu, penduduk setempat merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan wakil rakyat mereka atas sumbangan tersebut. –EDISI UKAS

Share
0