Agihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang Di DUN Daro

KHAMIS, 10 JUN 2021

DARO: Pelaksanaan pengagihan bantuan makanan Sarawakku Sayang diteruskan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro yang telah bermula sejak Isnin lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad memberitahu, bantuan makanan tersebut berjaya diagihkan kepada 2,461 orang penerima daripada 15 buah kampung dan 30 rumah panjang setakat Selasa.

“Kita akan terus mengagihkan bantuan ini kepada 5,079 Ketua Isi Rumah (KIR) selewat-lewatnya 11 Jun 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi memaklumkan bantuan makanan ini adalah inisiatif berterusan daripada kerajaan Sarawak untuk menangani impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Inisiatif bakul makanan ini bertujuan untuk memberikan bantuan kepada semua rakyat Sarawak yang terkesan dari segi ekonomi dan kebajikan susulan pelaksanaan PKP,” ujarnya.

Selain itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Itol Daro, Suffian Fauzi berkata, pihak SABERKAS termasuk pengurusan Surau Darul Makmur bekerjasama mengagihkan bantuan kepada keluarga yang terlibat.

“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mengagihkan bantuan ini kepada setiap penerima bagi menjaga keselamatan mereka untuk kekal berada di rumah di samping memutuskan penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

Share

add comment