Insiden Kereta Dihempap Besi Di Feri Rambungan Akan Disiasat Secara Terperinci

KHAMIS, 10 JUN 2021

LUNDU: Insiden kereta milik seorang wanita berusia lewat 50-an dihempap besi semasa menuruni feri Rambungan mendapat perhatian daripada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak pada Rabu.

Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi bergegas ke lokasi kejadian bersama dengan Setiausaha Tetap Kementerian, Datu Safri Zainuddin.

Beliau memaklumkan pihak kementeriannya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan siasatan terperinci ke atas kejadian tersebut yang melibatkan nyawa dan keselamatan awam.

“Saya bersama Setiausaha Tetap dan beberapa pegawai dari kementerian serta JKR Sarawak telah melawat lokasi kejadian tengahari semalam (Rabu) dan melihat serta mendengar sendiri maklumat kejadian daripada pihak kontraktor, mangsa serta pihak pengusaha feri.

“Arahan berhenti kerja atau ‘stop works’ turut dikeluarkan serta merta kepada pihak kontraktor selepas kejadian dan sebarang kerja-kerja pembinaan tidak dibenarkan sama sekali dilakukan di lokasi,”katanya.

Selain itu, Datuk Julaihi memberitahu pihak kementeriannya akan membantu mangsa mendapatkan tuntutan ganti rugi.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. –EDISI UKAS

Share

add comment