Klinik Kiu Terlibat Program Vaksinasi Bahagian Serian

KHAMIS, 10 JUN 2021

SERIAN: Klinik Kiu merupakan klinik swasta yang telah terlibat dalam program vaksinasi di Bahagian Serian bermula pada 8 Jun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus turun padang meninjau ke pusat vaksinasi tersebut pada Khamis.

Menurut Dr Kiu Chiong Chin, setakat ini mereka hanya memberikan suntikan kepada 18 orang dalam satu hari.

“Jumlah vaksin yang diberikan adalah seperti yang diarahkan oleh pihak ‘Protect Health’ dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Klinik kami telah didaftarkan dan dibekalkan dengan vaksin. Pada masa sama klinik kami juga diperiksa bagi memastikan kami mematuhi prosedur,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Selain itu, Klinik Siburan juga turut serta dalam program vaksinasi di sini menjadikan Bahagian Serian memiliki dua buah klinik swasta yang terlibat setakat ini.-EDISI UKAS