Lepasan SPM 2020 Boleh Kemaskini UPUOnline Mulai 15 Jun Hingga 21 Jun 2021

KHAMIS, 10 JUN 2021

PUTRAJAYA: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh mula mengemas kini pilihan program pengajian masing-masing menerusi UPUOnline yang dibuka untuk dikemas kini selama tujuh hari bermula pada 15 Jun ini hingga 21 Jun 2021.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Khamis, pemohon boleh mengemas kini semua pilihan program pengajian berdasarkan keputusan SPM 2020 kecuali bagi program pengajian yang telah dipanggil temu duga atau ujian.

“Hebahan keputusan permohonan UPUOnline lepasan SPM Sesi Akademik 2021/2022 dijangka dibuat pada minggu ketiga Julai ini,” katanya. 

Serentak dengan pembukaan fasa pengemaskinian tersebut, KPT akan melaksanakan program Jom Masuk IPT Virtual 2021 (JMIPT Virtual 2021) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM), bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan akses pendidikan tinggi tidak terjejas walaupun negara sedang berdepan pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan itu lagi, program tersebut melibatkan penyertaan semua universiti awam, politeknik, kolej komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam, Agensi Kelayakan Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Bahagian Biasiswa KPT.

Program itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama mulai 15 Jun hingga 21 Jun ini yang dikhususkan kepada pemohon lepasan SPM, manakala fasa dua bermula 8 hingga 12 Ogos, khusus untuk pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setarafnya.

Tambah kenyataan media itu lagi, jaringan komunikasi sedia ada seperti talian hotline, sistem maklum balas dan e-mel rasmi membolehkan JMIPT Virtual 2021 diadakan dengan menyediakan 29 slot webinar, sesi ‘live chat’ serta konsultasi secara berkelompok dan individu oleh pempamer secara maya. -EDISI UKAS

Share

add comment