Penduduk Kampung Empila Yang Dikenakan PKPD Terima Bantuan Makanan

KHAMIS, 10 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Empila yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan makanan basah yang disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang, pada Rabu.

Menurut Ketua Marqas Operasi ADUN Muara Tuang, Aziz Mohamad, sumbangan tersebut diagihkan kepada 462 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan Kampung Empila Hulu dan Kampung Empila Hilir bagi membantu mereka yang menjalani PKPD sejak 4 hingga 17 Jun depan.

Beliau memberitahu, bantuan adalah berupa makanan basah seperti ayam, telur dan sayur bagi melengkapkan bahan makanan penduduk yang terlibat.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan turut memberikan bantuan makanan asas kepada penduduk Kampung Empila dan bantuan ini adalah untuk melengkapkan bahan makanan penduduk yang terlibat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dato’ Idris berkata, beliau berharap pelaksanaan PKPD di Kampung Empila berjalan dengan lancar dan penduduk yang terjejas dapat bersabar serta terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh arahan tersebut bagi membendung wabak COVID-19.-EDISI UKAS

Share

add comment