KHAMIS, 10 JUN 2021
KOTA SAMARAHAN: Seramai kira-kira 1,000 penduduk dari 167 buah keluarga di Kampung Stakan Melayu yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan bekalan makanan daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang pada Rabu.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu turut meluangkan masa melawat dan memantau pengagihan bantuan tersebut yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Samarahan serta mendapatkan perkembangan terkini pelaksanaan PKPD di kawasan tersebut.
Beliau ketika ditemui berkata, lawatannya itu bertujuan untuk menggalak masyarakat bagi menerima vaksin COVID-19 selain daripada menghulurkan bantuan keperluan makanan kepada mereka.
“Bersama-sama dengan bantuan bekalan makanan yang kita agihkan ini, turut disertakan maklumat berkaitan seperti pautan kod QR untuk pendaftaran bagi mendapatkan vaksin COVID-19.
“Kita mengharapkan penyertaan yang memberangsangkan daripada warga Kota Samarahan dalam usaha merealisasikan imuniti secara kelompok setelah melihat perkembangan terkini wabak COVID-19 yang semakin teruk dan aktif menular khususnya di kawasan ini.
“Walaupun vaksin berkenaan bukanlah penawar kepada penyakit COVID-19 namun ianya adalah langkah yang terbaik dalam membendung penularan wabak ini daripada menjangkiti golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan juga mereka yang mempunyai penyakit kronik yang mungkin boleh menjadi mangsa kepada wabak ini,” katanya semasa lawatan berkenaan.
Dalam pada itu, Rubiah turut memaklumkan terdapat dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di Kota Samarahan iaitu Kompleks Sukan Asajaya dan Dewan Suarah Kota Samarahan yang dijangka boleh menyediakan pemvaksinan kepada kira-kira 600 penduduk sehari.
Beliau turut menyeru kepada orang ramai khususnya golongan muda untuk membantu golongan warga emas mendaftar sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).-EDISI UKAS