KHAMIS, 10 JUN 2021
MIRI: Pemilihan Hospital Pakar KPJ Miri sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Bandaraya Miri dilihat sangat sesuai dengan kemudahan dan kapasitinya.
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, ini selepas mendengar taklimat berhubung persiapan yang telah dilakukan Hospital Pakar KPJ Miri.
“Kita dapati pusat perubatan Hospital Pakar KPJ Miri ini amat sesuai.
“Kita juga telah berbincang untuk meningkatkan bilangan kapasiti penerima vaksin di sini, kerana buat permulaan jumlah penerima vaksin di sini nanti ialah 50 orang sehari.
“Memandangkan ini satu pusat perubatan swasta yang besar, dan saya kira tiada masalah kalau kapasiti bilangan penerima vaksin ditambah kepada 200 orang atau lebih dalam sehari,” katanya.
Katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Swasta Hospital Pakar KPJ Miri pada Rabu.
Sehingga kini selain Hospital Pakar KPJ Miri terdapat tiga buah pusat perubatan swasta di Bandaraya Miri telah dilantik sebagai PPV iaitu Hospital Columbia Asia Miri, Borneo Medical Centre (BMC) Miri dan Miri City Medical Centre (MCMC).
Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berharap pusat perubatan dan klinik swasta di Bandaraya Miri tampil membantu sebagai PPV bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Kita berharap pusat perubatan swasta dan klinik-klinik swasta lain di Bandaraya Miri ini akan tampil membantu sebagai PPV sekaligus menjayakan program pemberian vaksinasi ini.
“Dengan pertambahan PPV ianya boleh meningkatkan lagi kapasiti bilangan penerima vaksin memandangkan jumlah vaksin yang akan kita terima selepas ini akan bertambah seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri baru-baru ini,” ujarnya.
Beliau juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Hospital Pakar KPJ Miri kerana sudi bersama dengan kerajaan menyertai program vaksinasi ini
Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong dan Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof. -EDISI UKAS