Tidak Perlu Surat MITI, Memadai Surat Pengesahan Majikan Bagi Pengoperasian Dalam Daerah

KHAMIS, 10 JUN 2021

MIRI: Pengoperasian sektor komersial dan perkhidmatan serta sektor berkaitan rantaian makanan seperti yang disenaraikan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun 2021 tidak perlu memohon surat kebenaran COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata surat pengesahan yang dikeluarkan oleh majikan masing-masing adalah memadai sekiranya mereka beroperasi dalam lingkungan daerah masing-masing sahaja.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri pada petang Selasa telah bersetuju bahawa bagi pengoperasian sektor yang telah disenaraikan oleh JPBN Sarawak, hanya perlu tunjukkan surat pengesahan majikan seperti yang dipraktikkan sebelum ini. 

“Tidak payah menggunakan surat MITI lagi dan ini hanya terpakai sekiranya mereka beroperasi dalam daerah masing-masing sahaja. 

“Manakala untuk melalui sekatan daerah, permit polis masih perlu ditunjukkan kepada petugas Sekatan Jalan Raya (SJR),” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu. 

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, dengan penjelasan ini tiada lagi keraguan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah pun maklum mengenai perkara ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Miri. 

Terdahulu, Kerajaan Sarawak telah mengumumkan bagi industri atau sektor yang tidak disenaraikan dalam perkhidmatan perlu (essential services) atau bagi mana-mana pihak yang mempunyai keraguan atau ingin mendapatkan kepastian berhubung pengoperasian sektor masing-masing boleh mengemukakan permohonan kebenaran khas untuk pertimbangan JPBN Sarawak. 

Dalam pada itu, JPBB Miri juga mengingatkan bagi mana-mana sektor yang telah dibenarkan untuk beroperasi haruslah mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan dengan sepenuhnya untuk membanteras penularan pandemik COVID-19. -EDISI UKAS

Share
0