Unit Bergerak Percepat Proses Pemberian Vaksin

KHAMIS, 10 JUN 2021

KAPIT: Proses pemberian vaksin COVID-19 di bahagian Kapit akan diperkasakan dengan penumbuhan Unit Bergerak.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, unit ini akan membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin di bahagian tersebut.

“Di Kapit kita ada 20 unit bergerak dengan 16 daripadanya adalah di daerah Kapit, Bukit Mabong (20) dan juga di Song.

“Unit bergerak ini akan terus pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain kita memohon kerjasama daripada Angkatan Tentera dan pihak lain untuk membantu Jabatan Kesihatan Kapit mempercepatkan pemberian vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas lawatan kerja ke bahagian Kapit pada Khamis.

Terdahulu beliau menyempurnakan Simbolik Penyerahan Bantuan Makanan BKSS 6.0 dan turut meninjau Hospital Medan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Baleh.

Dalam pada itu, Ketua Menteri juga berkata, bahagian Kapit akan menerima 16,680 dos suntikan vaksin COVID-19 setiap minggu.

“Ini terbahagi kepada 8,160 dos untuk daerah Kapit, Song (3,680) dan daerah Asap dan Belaga sebanyak 4,840 dos setiap minggu,” jelasnya.-EDISI UKAS

Share

add comment