VCEE19, Pertubuhan Sukarelawan Pertama Di Sarawak Bantu PPV Di Kuching

KHAMIS, 10 JUN 2021

KUCHING: ‘Volunteer Community Engagement and Empowerment for COVID-19 Malaysia’ (VCEE19) merupakan salah satu pertubuhan sukarelawan pertama di Sarawak yang membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di Kuching.

Pengerusinya, Dzulkarnain Haron ketika ditemui di Pusat Perubatan Timberland pada Rabu memberitahu, tugasan utama mereka adalah bagi melancarkan proses sesuatu program seperti pergerakan para penerima vaksin.

Beliau memaklumkan lagi, mereka kini menjalankan tugas membantu proses pemvaksinan di Pusat Perubatan Timberland yang telah bermula sejak 25 Mei lepas.

“Sebenarnya VCEE19 telah mula membantu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Bintawa sebelum ini dimana kami membantu pihak KKM dalam proses pendaftaran dan pergerakan masuk.

“Seterusnya, kami berkhidmat di PPV Stadium Perpaduan sejak bulan April dan sekarang ini kami membantu pihak Pusat Perubatan Timberland dalam program pemberian vaksin,”jelasnya.

Dzulkarnain memberitahu lagi, jumlah sukarelawan yang dihantar untuk membantu adalah bergantung kepada saiz PPV seperti jumlah yang akan menerima suntikan dalam satu hari.

“Terdapat lima orang sukarelawan dari VCEE19 dihantar untuk bertugas membantu pihak Pusat Perubatan Timberland dalam menguruskan hal hal berkaitan pemberian vaksin,”ujar beliau lagi.-EDISI UKAS

Share

add comment