12,432 KIR DUN Lambir Mula Terima Bantuan Makanan Secara Berperingkat

JUMAAT, 11 JUN 2021

SUBIS: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir mula menerima bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang di bawah program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, sebanyak 13,432 Ketua Isi Rumah (KIR) akan mula menerima bantuan tersebut secara berperingkat bermula Khamis. 

“Kita juga berharap masyarakat boleh bersabar kerana penghantaran bantuan makanan ini diadakan secara berperingkat-peringkat dan akan sampai kepada semua masyarakat di DUN Lambir,” katanya semasa ditemui dalam Simbolik Penyerahan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang DUN Lambir Daerah Subis di Dewan Serbaguna, Kampung Keluru Tengah pada Khamis. 

Sebanyak empat buah rumah panjang di kawasan DUN Lambir menerima bantuan makanan yang diwakili tuai rumah panjang masing-masing. 

Dalam perkembangan sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas bantuan makanan yang diberikan kepada penduduk di DUN Lambir dan masyarakat di Sarawak. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas kepimpinan Ketua Menteri Sarawak yang menyalurkan bantuan kepada semua masyarakat di dalam kawasan DUN Lambir dan seluruh Sarawak. 

“Kita berharap bantuan ini serba sedikit meringankan kesusahan masyarakat kita semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” ujarnya. 

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan Pegawai Daerah Subis Jamalie Busri. -EDISI UKAS

Share
0