1,760 Vaksin COVID-19 Sinovac Diterbangkan Di 4 Buah Klinik Kesihatan Di Pedalaman Miri

JUMAAT, 11 JUN 2021

MIRI: Sebanyak 1,760 vaksin COVID-19 jenis Sinovac telah dihantar ke empat buah Klinik Kesihatan di pedalaman Bahagian Miri. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata empat klinik kesihatan itu ialah Klinik Kesihatan Bario, Klinik Kesihatan Mulu, Klinik Kesihatan Long San dan Klinik Kesihatan Long Bedian. 

“Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengatur dan menghantar vaksin ke empat klinik di luar bandar Bahagian Miri iaitu Klinik Kesihatan di Bario, di Mulu, di Long San dan di Long Bedian. 

“Sebanyak 1,760 dos vaksin Sinovac dihantar ke empat klinik berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau persiapan penerbangan penghanataran vaksin di Lapangan Terbang Miri pada Jumaat. 

Penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman ini dibuat melalui penerbangan ihsan pesawat AW139 (9M BOD) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama dua petugas perubatan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri. 

Pada Khamis, Bahagian Miri telah menerima 21,920 dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut memberitahu beliau telah memaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan pegawai daerah di setiap kawasan untuk membantu proses vaksinasi pada Sabtu. 

“ADUN kawasan dan pegawai daerah telah diminta membantu dan menghubungi kampung-kampung berkenaan untuk datang mendapatkan vaksin. 

“Mereka akan diberikan jadual vaksinasi dan ADUN di kawasan berkenaan untuk datang membantu kampung atau rumah panjang yang telah diberikan jadual itu untuk mereka akan keluar mendapatkan vaksinasi,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Horbill Skyways yang akan membantu menerbangkan vaksin COVID-19 ke 23 buah klinik kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri yang juga Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Ketua Sektor Program Pembangunan Kesihatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri Dr. Noor Izni Mohamed Shapie, Penguasa Kanan Bomba I, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Law Poh Kiong dan Penguasa Kanan Bomba II, Robert James. -EDISI UKAS

Share
0