21,920 Dos Vaksin COVID-19 Selamat Tiba Di Miri

JUMAAT, 11 JUN 2021

MIRI: Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 21,920 dos vaksin COVID-19 jenis Sinovic dari Kuala Lumpur selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada jam 11.15 pagi Khamis.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, kesemua dos vaksin COVID-19 ini adalah untuk masyarakat di Bahagian Miri.

“Sebanyak 21,920 dos vaksin jenis Sinovac telah selamat sampai di MASKargo Miri pada pagi ini untuk kegunaan di Bahagian Miri. 

“Selepas ini, lebih banyak lagi penghantaran vaksin dijangka akan tiba setiap minggu di Miri,” katanya semasa ditemui selepas menyaksikan ketibaan vaksin COVID-19 Sinovac di Lapangan Terbang Miri pada Khamis. 

Setibanya di Lapangan Terbang Miri, kesemua vaksin Sinovac dipunggah ke dalam kenderaan pengangkut yang dikendalikan oleh Syarikat Pharmaniaga Logisctic Sdn Bhd dengan diiringi Polsi DiRaja Malaysia (PDRM) ke lokasi penyimpanan vaksin yang telah ditetapkan. 

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak penghantaran vaksin jenis Sinovac ini adalah sebagai salah satu usaha mempercepatkan lagi proses vaksinasi dan mencapai imunisasi kelompok seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg baru- baru ini.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan dan Kesenian Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi JPBB Miri yang juga Pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong dan Pegawai Farmasi Bahagian Miri Eileen Yii Sze Shin. -EDISI UKAS

Share

add comment